Tuesday, February 23, 2010

Selamat Menyambut Maulidur Rasul

Maulidur Rasul (dalam bahasa Arab bermaksud kelahiran Rasul) adalah hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad SAW. Tahun ini 12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi SAW yang jatuh pada hari Jumaat 26 February 2010. Baginda adalah Nabi terakhir yang diutus oleh Allah SWT. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi.

Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad SAW dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.

Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad SAW, kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal soleh.

Jelas kepada kita bahawa pembalasan Allah SWT terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah SWT akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah Subhanahu Wataala.

Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.


Sumber Oleh: Wikipidea

Wednesday, February 17, 2010

Info Sukan -- Ten Pin Bowling


Bowling sepuluh pin atau ten-pin bowling adalah sejenis sukan kompetitif dan riadah di mana seorang pemain diperlukan untuk menggolek bola di atas lorong yang dibuat dari kayu atau sintetik (polyurethane) dengan tujuan untuk mendapat mata secara menjatuhkan sebanyak pin yang mungkin.

Lorong boling tersebut berukuran 41.5 inci (105 cm) lebar dan 60 kaki (18.2 m) panjang. Di kiri dan kanan lorong tersebut terdapat 2 buah longkang yang akan mengutip bola yang melencong ke luar. 20 kaki (6 m) kehadapan adalah ruangan untuk pemain bergerak, dan baki 40 kaki (12 m) untuk bola bergolek ke arah 10 pin yang disusun secara segi tiga di hujung lorong. Pemain akan naik ke pelantar lorong tersebut dengan bola yang seberat di antara 6 hingga 17 paun (2.7 - 7.7 kg).

Permainan ini berasal dari permainan "skittle" dan sangat popular di Eropah dan AS. Kini pemain-pemain dari Asia Tenggara telah maju dalam permainan ini dan ramai juga yang bergelar juara dunia. Di Sukan Asia tahun 2006, emas Malaysia banyak disumbangi oleh pasukan ten pin bowling.

Sumber info: Wikipedia Bahasa Melayu

Monday, February 8, 2010

Info Futsal


Futsal merupakan versi bola sepak tertutup yang secara rasmi diselia oleh badan pentadbiran antarabangsa bola sepak, Fédération Internationale de Football Association (FIFA). Namanya berasal daripada bahasa Portugis futebol de salão, dan bahasa Sepanyol fútbol de salón. Kedua-duanya bermaksud 'bola sepak dalam dewan'.
Futsal dimainkan oleh lima pemain dalam satu pasukan. Salah seorang daripadanya merupakan penjaga gol. Antara perbezaan bola sepak dengan futsal ialah padang bola sepak menggunakan gelanggang yang besar berbanding futsal yang agak kecil. Masa permainan futsal juga singkat iaitu 20 minit bagi setiap separuh masa. Bola yang digunakan juga lebih berat membuatkan pemain mengawal bola dengan baik. Tambahan pula, kawasannya yang lebih lebih kecil memaksa pemain meningkatkan tahap kemahiran serta membuat keputusan dengan lebih cepat. Kesalahan-kesalahan seperti rempuhan bahu dan melakukan gelungsur terhadap pihak lawan dilarang sama sekali. Di samping itu, mana-mana pasukan yang mengumpulkan kesalahan keenam bagi setiap separuh masa akan dihukum dengan sepakan penalti kedua. Seterusnya kesalahan berikut juga akan dihukum dengan sepakan penalti kedua. Kesalahan-kesalahan ini dinamakan kesalahan terkumpul.
Pada masa sekarang futsal berkembang dengan pesat. Banyak gelanggang-gelanggang baru dibina bagi tujuan memberi peluang kepada orang ramai merasai keseronokan bermain futsal. Ia bukan sahaja terhad kepada golongan lelaki tetapi juga perempuan.

Sumber info: Wikipedia Bahasa Melayu