Wednesday, January 27, 2010

LIGA PERDANA ENGLAND

Arsenal dan Chelsea hadapi pertarungan genting

LONDON: Pertarungan merebut kejuaraan Liga Perdana England memasuki tahap penentuan hari ini dengan Arsenal dan Chelsea turun ke padang dengan harapan menumbangkan Manchester United daripada tangga atas.

United merampas persada liga pada hujung minggu lalu dengan ketajaman Wayne Rooney yang membantunya menumpaskan Hull City 4-0.

Bagaimanapun, Arsenal akan menduduki semula puncak liga ini jika ia memungut tiga mata daripada kunjungannya ke Aston Villa - pasukan yang turut memburu kedudukan empat tangga teratas liga.

Chelsea, yang jumlah matanya sama dengan Arsenal tetapi mempunyai satu perlawanan dalam tangan, menyambut kunjungan Birmingham City, yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dengan rekod 15 perlawanan tanpa kalah dalam pelbagai pertandingan.

Jadual hari ini turut menyaksikan Blackburn Rovers menjadi tuan rumah kepada jirannya, Wigan Athletic, di mana kedua-duanya sedang berjuang mengelakkan diri daripada diturunkan.

Everton pula berharap dapat bangkit selepas tersingkir daripada Piala FA di tangan Birmingham apabila menentang pasukan pimpinan Steve Bruce, Sunderland.

Dengan Manchester United bertandang ke Stadium Emirates Ahad ini, Arsenal perlu bangkit di Villa Park. Selepas melayani kunjungan United, anak didik Arsene Wenger akan berdepan pula dengan dua lagi perlawanan sukar menentang Chelsea dan Liverpool.

Menyedari jadual perlawanan mendatang yang sukar ini, Wenger telah membuat sembilan pertukaran daripada pasukan yang menewaskan Bolton minggu lalu tetapi keputusan itu membawa padah apabila mereka kecundang 1-3 di Stoke City dalam perlawanan Piala FA hujung minggu lalu.

Ketiadaan pemain seperti William Gallas amat dirasakan dan menjejas kemantapan bentengnya meskipun dengan penampilan semula bekas pemain pertahanan England, Sol Campbell, yang prestasinya jauh daripada yang diharapkan.

Wenger percaya kekalahan tersebut akan menguatkan lagi semangat anak buahnya untuk kembali bersaing merebut kejuaraan Liga Perdana yang kali terakhir dimenanginya pada 2004.

'Saya tidak kesal dengan pemilihan pasukan kerana saya tidak mempunyai banyak pilihan,' jelas jurulatih asal Perancis itu.

'Bacary Sagna, Thomas Vermaelen dan Gael Clichy tidak dapat bermain dan saya fikir keseluruhan permainan Sol Campbell adalah baik.'

Gallas dijangka kembali mengukuhkan benteng Arsenal dan begitu juga dengan beberapa tunggak yang lain.

Pemain pertahanan Birmingham, Roger Johnson, akan memenuhi impian hidupnya apabila bermain buat pertama kalinya menentang Chelsea.

Bekas pemain Cardiff ini dibesarkan sebagai penyokong Chelsea dan sedang beliau berusaha menjejas kempen mereka, beliau tetap menjangka pasukan pimpinan Carlo Ancelotti akan menjulang kejuaraan.

'Saya fikir mereka akan memenangi kejuaraan liga ini. Mereka lebih baik berbanding pasukan-pasukan lain musim ini. Manchester United tidak segagah musim-musim sebelumnya dan Arsenal baru mula menunjukkan kegagahannya.'

Sumber dari : Berita Harian

No comments: