Wednesday, October 7, 2009

Bantuan kemanusiaan ke Padang tetap diteruskan - Muhyiddin

PUTRAJAYA: Misi bantuan kemanusiaan untuk mangsa gempa bumi di Padang, Indonesia, akan diteruskan walaupun ada segelintir rakyat negara itu masih mempunyai tanggapan negatif terhadap Malaysia, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata aspek kemanusiaan seharusnya dilihat dari sudut yang berasingan, justeru konflik yang timbul ketika ini tidak boleh dibiarkan mempengaruhi sebarang usaha baik oleh Malaysia terhadap pihak yang memerlukan.

"Seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, kita tidak akan hantar (bantuan) kalau tidak ada satu lampu hijau, kebenaran dari pihak Indonesia.

"Sedikit sebanyak (pasukan Malaysia) telah membantu keadaan di Padang dan ini dilihat dari sudut hubungan baik kita antara kerajaan dengan kerajaan, dan umumnya antara rakyat dengan rakyat.

"Kita tidak akan melihat kepada satu kelompok, dua kelompok, maksudnya kita bersikap saling bermusuhan atau mengambil langkah balas. Kita tidak begitu, jadi apa pun usaha adalah dari sudut kemanusiaan selagi dikehendaki dan dapat izin dari pihak Indonesia, kita akan lakukan dan itu yang kita buat dulu," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 8 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kecenderungan sesetengah pihak di Indonesia membuat kenyataan dan bersikap negatif terhadap Malaysia walaupun negara ini merupakan negara pertama yang menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi di Padang.

Muhyiddin berkata, bantuan seumpama itu adalah usaha baik bagi menonjolkan semangat setiakawan dan menilai hubungan akrab antara kedua-dua negara yang terjalin erat selama ini.

Katanya isu apa saja dalaman seharusnya diserahkan kepada kebijaksanaan pihak pemerintah Indonesia yang lebih mahir menguruskan hal ehwal dalaman negara mereka.

"Saya percaya mereka lebih faham, lebih tahu dan kita harap ada sesuatu usaha dibuat untuk tidak mengeruhkan hubungan baik kita hanya kerana ada pihak tertentu yang bertindak mengikut perasaan mereka sendiri.

"Saya fikir biarlah kita serah kepada pihak berkuasa Indonesia untuk mengambil apa langkah yang lebih sesuai. Mereka lebih tahu urusan dalaman (negara) mereka," katanya.

Beliau berkata Malaysia tetap akan mengambil langkah berjagajaga dan tidak memandang ringan terhadap sebarang bentuk ancaman yang ditimbulkan oleh kelompok tertentu di Indonesia.

Walaupun ketegangan itu bukan dicetuskan oleh kerajaan Indonesia namun Malaysia tetap memberi perhatian KERANA kesemua isu itu memberi implikasi terhadap hubungan baik keduadua negara.

"Kita percaya pihak pemerintah Indonesia akan mengambil langkahlangkah untuk memastikan hal sebegitu tidak dengan semudahnya dilakukan dan ini bukanlah soal dalaman negara, tapi sudah ada hubung kait dengan negara jiran seperti Indonesia. Jadi kita agak perlu berjagajaga, walaupun perkara itu dilakukan oleh kelompok tertentu tapi ini tidaklah dipandang ringan," katanya ketika mengulas mengenai laporan bahawa kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) akan menyerang Malaysia esok menerusi kepulauan Borneo.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, dalam menangani isu itu, kerajaan telah menghantar Menteri Luar Datuk Anifah Aman untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono bagi membincangkan dengan lanjut perkara tersebut.

"Di samping itu, ada usaha lain yang kita lakukan cuma tidaklah secara terbuka supaya keadaan itu dapat diredakan. Oleh sebab itu Presiden Indonesia telahpun buat keputusan bahawa selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden, negara pertama yang akan beliau lawati ialah Malaysia, dan ini memberi peluang untuk pucuk pimpinan tertinggi Indonesia dengan Perdana Menteri membincangkan secara lanjut dan berhemah, apa langkah yang wajar dibuat," katanya.

Timbalan Perdana enteri berkata beliau yakin pihak pemerintah Indonesia tidak mahu hal seperti itu menjejaskan hubungan baik yang telah terjalin antara kedua-dua negara jiran yang penting ini.

Ketika ditanya mengenai kawalan keselamatan negara, Muhyiddin berkata pihak keselamatan sentiasa berada dalam keadaan berjagajaga kerana sebarang ugutan dari pihak luar tidak boleh dipandang enteng.

"Kita tidak mahu anggap mudah dengan ugutan yang datang dari pihak mana sekalipun.Selama ini pun kita tidak ada isuisu yang besar. Ini hanya persepsi sekelompok masyarakat Indonesia yang tidak puas hati atas apa sebab, sama ada ia terpengaruh dengan pihak tertentu ataupun ada muslihatnya. Itu kita kurang pasti.

"Tapi dari sudut hubungan kita dengan Indonesia, seperti biasa diteruskan dan garisan diplomatik itu masih kekal ada. Kalau adapun tindakan, kita buat berdasarkan saluran diplomatik," katanya.

Ditanya mengenai ancaman yang diterima oleh pasukan misi kemanusiaan Malaysia di Padang, Muhyiddin berkata kerajaan belum menerima sebarang laporan mengenai perkara itu.

"Setakat hari ini kita tidak dengar ada laporan sebegitu kerana kawasan yang mereka pergi itu ialah kawasan malapetaka.

Fokusnya ialah menyelamat dan kalau bukan menyelamat nyawa, ialah membantu mereka yang dapat diselamatkan. Saya tidak dapat laporan dari Smart dan sebagainya yang mengatakan mereka berhadapan dengan masalah sebegitu, jadi biarlah," katanya.BERNAMA

Sumber dari : Mystar

2 comments:

Anonymous said...

Salam semua,
Saya berpendapat usaha melaga-lagakan antara dua negara ini dilakukan oleh pihak2 musuh yang berkepentingan, bukan sahaja ianya berlaku di Indonesia tetapi berlaku juga di Malaysia walaupun isunya berbeza...selagi ada ramai pak turut yg kurang berfikir ini selagi itulah usaha2 jahat itu tidak akan berhenti

Anonymous said...

hello,
jangan lupa untuk membantu saudara kita di padang, dermalah sedikit wang ringgit menerusi laluan yang betul...contoh tabung TV3 dsb. Alhamdulillah kita dikurniakan Allah tempat tinggal yang selamat dari kebanyakan bencana. mudah2an derma kita dapat membantu meringankan beban saudara2 kita yang malang tu