EEI Hui (kiri) dan Pei Tty menggigit pingat emas juara selepas menewaskan Shu Cheng dan Yunlie.
Sahut cabaran BAM, ungguli final perseorangan, beregu Terbuka Indonesia
TEGURAN keras Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini menuntut pemain bangkit daripada keaiban Terbuka Singapura jelas tidak sia-sia apabila Lee Chong Wei dan pasangan beregu wanita negara, Chin Eei Hui-Wong Pei Tty kembali menyelamatkan maruah tercalar itu.
Semalam, Chong Wei terus membuktikan nilainya selaku pemain nombor satu dunia dengan menewaskan jaguh Indonesia, Taufik Hidayat dalam final perseorangan lelaki di Terbuka Indonesia dan Eei Hui-Pei Tty turut gah melakar gemilang di Jakarta buat menceriakan peminat tanah air.
Chong Wei yang tersingkir awal di Terbuka Singapura, minggu lalu menewaskan wira tempatan, Taufik 21-9, 21-14 dan mengulangi kejayaan dilakar pada 2007 di kejohanan sama manakala Eei Hui-Pei Tty yang juga berada di ranking pertama dunia mudah menundukkan beregu China, Cheng Shu-Zhao Yunlie, 21-16, 21-16.
“Saya gembira dapat memenangi gelaran ini. Sasaran berikut saya adalah untuk muncul juara di Kejohanan Dunia.”
“Lagi pun saya memang memburu kemenangan di sini dan datang dengan harapan mampu bermain baik bagi menebus kekecewaan di Singapura,” kata Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 selepas menerima piala dan hadiah wang tunai AS$18,750 (RM65,600).
Malah, gelaran Terbuka Indonesia dilihat hadiah bermakna Chong Wei kepada jurulatihnya, Misbun Sidek yang pulang ke ibu negara, Rabu lalu, selepas menemani isterinya menjalani rawatan di China. Ketiadaan ‘guru’ itu jelas memberi kesan terhadap aksinya di Terbuka Singapura.
Bagi Eei Hui-Pei Tty kejayaan ini adalah yang pertama buat beregu ini selepas muncul juara Siri Masters Akhir di Kota Kinabalu, enam bulan lalu dan gelaran siri super kedua selepas Terbuka Denmark, tahun lalu.
Sumber Oleh : Berita Harian
1 comment:
Motivasi untuk pasukan Badminton KSS MPOB Kluang ...manalah tahu kita mempunyai pemain handalan yang masih mahu menyembunyikan diri....
Post a Comment